Skip to content
Home » Blog » Boleh Ke Santan Diproses Guna Mesin Retort?

Boleh Ke Santan Diproses Guna Mesin Retort?

Bila kita masuk ke fasa untuk memanjangkan jangka hayat produk (shelf-life), soalan yang ada kami terima ialah: “Santan boleh di-retort ke?”

Jawapannya

Jawapan pendeknya: Boleh, tapi… ada “tetapi” yang sangat besar yang anda kena faham sebelum mencuba.

Kalau anda main masukkan sahaja santan segar ke dalam mesin retort, hasil akhirnya akan mengecewakan.

Ini sebabnya.

Santan Berubah Dengan Retort

Mesin retort menggunakan suhu yang tinggi (sekitar 121°C) dalam tempoh masa yang agak lama (contohnya 20-30 minit) untuk membunuh kuman.

Bagi karakter fizikal santan, proses ini akan merosakkan kualitinya:

  • Protein Menggumpal (Coagulate): Protein di dalam santan akan rosak dan bergumpal, membuatkan teksturnya tidak lagi licin.
  • Pecah Minyak: Proses pemanasan lama retort akan memisahkan kandungan air dan minyak dalam santan. Ia langsung tidak akan kelihatan seperti santan kotak yang biasa anda lihat di pasaran.
  • Berubah Warna & Rasa: Suhu tinggi retort dalam jangka masa lama akan membuatkan santan berubah warna (menjadi sedikit keperangan atau kusam) dan rasa asalnya akan “lari”.

Kesimpulannya, sistem pemprosesan retort sangat berbeza.

Ia kurang sesuai jika matlamat anda adalah untuk menghasilkan santan tulen komersial yang premium.

Rahsia Industri: UHT + Homogenizer

Kalau anda tengok santan kotak di pasar raya yang kekal putih, stabil, dan tahan berbulan-bulan, mereka bukan guna mesin retort biasa.

Mereka menggunakan Teknologi UHT (Ultra High Temperature).

Sistem pemprosesan santan komersial yang berkualiti tinggi melibatkan langkah teknikal yang ketat ini:

  • Proses UHT yang Pantas: Santan dipanaskan pada suhu yang sangat tinggi iaitu 145°C, tetapi dalam masa yang tersangat pendek iaitu 3 saat sahaja. Lepas itu, ia akan disejukkan secara mengejut ke suhu 45°C secepat mungkin menggunakan sistem tiub (tube system).
  • Penggunaan Agen Penstabil: Perlu ditambah emulsifier (agen pengemulsi) bertindak sebagai penstabil supaya minyak dan air tidak terpisah.
  • Sistem Homogenisasi Tekanan Tinggi: Santan wajib dilalukan melalui mesin High Pressure Homogenizer atau mesin pengisar berteknologi tinggi untuk memecahkan zarah lemak santan supaya saiznya sekata dan tidak pecah minyak.

Kos Sistem UHT Amat Tinggi

Sebab itu, kalau ada usahawan berniat nak buat produk santan kotak dengan menggunakan kilang atau mesin sendiri, kami selalunya akan minta mereka semak bajet dahulu.

Untuk mendapatkan kualiti santan yang baik, putih, dan tidak pecah minyak, mesin dan sistem pemprosesan UHT serta homogenizer ini harganya tersangat mahal.

Ia memerlukan pelaburan fasiliti kilang bertaraf industri besar, bukan sekadar mesin retort skala PKS.

Kita bercerita tentang pelaburan ratusan ke jutaan ringgit.

Apa yang anda lihat di pasaran adalah keluaran kilang saiz gergasi atau produk OEM dari negara-negara jiran.

Rancang Elok-Elok

Boleh ke retort santan?

Boleh, sekiranya santan itu sudah siap diadun di dalam masakan (seperti rendang, gulai, atau kari).

Komponen lain dalam masakan akan membantu mengikat struktur tersebut.

Tetapi, jika anda mahu meretort santan tulen/kosong begitu sahaja, lupakanlah mesin retort biasa.

Anda perlu bersedia untuk melabur dalam sistem talian pemprosesan UHT yang lengkap.

Alternatif lebih baik ialah dengan menggunakan khidmat syarikat OEM lain yg ada di dalam Malaysia atau Indonesia utk produk anda.