Bagi usahawan atau individu yang menghasilkan makanan retort, satu perkara penting yang sering diabaikan ialah – Makanan yang sudah dimasak boleh rosak dalam masa hanya 4 jam.
Ini bukan mitos.
Ia adalah fakta mikrobiologi — dan kalau tidak dijaga, makanan anda mungkin sudah basi sebelum sempat diretort.
Bagaimana Makanan Boleh Cepat Rosak?

Segalanya berpunca daripada bakteria pemusnah makanan, yang membiak dengan sangat pantas apabila keadaan sesuai.
Dalam keadaan optimum — seperti selepas makanan dimasak tetapi belum disejukkan — bakteria boleh berganda setiap 20 minit.
Apa yang mereka perlukan hanyalah:
- Kehadiran makanan/nutrien
- Suhu sekitar 30°C–40°C (suhu bilik di Malaysia!)
- pH melebihi 4.5
- Masa dan kelembapan
- Oksigen
Dengan semua faktor ini, hanya satu sel bakteria setiap gram makanan sudah cukup untuk merosakkan makanan dalam masa kurang dari 4 jam.
Kenapa Tak Boleh Retort Makanan Yang Dah Lama Diluar?
Dalam industri, ini dianggap “best practice”:
Makanan yang telah melebihi 4 jam pada suhu bilik selepas dimasak tidak boleh diretort.
Kenapa? Sebab makanan yang sudah mula rosak:
- Boleh hasilkan gas dan kembung dalam pek
- Akan ada rasa dan bau yang tidak menyenangkan
- Tidak lagi selamat dimakan walaupun sudah diretort
Ingat! Retort makanan bukanlah satu “magic fix”.
Ia tidak membetulkan makanan yang dah basi — hanya membunuh bakteria jika makanan masih dalam keadaan baik.